Penghantar barang yang disyaki mencuri barang kemas pelanggannya. Ihsan IPD Ampang Jaya

AMPANG – Tindakan seorang penghantar barang sebuah syrikat e-hailing yang disyaki mencuri dan menjual barang kemas milik pelanggan mengundang padah apabila dia diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 23 Mac lalu yang  mendakwa bungkusan mengandungi barang kemas miliknya yang dihantar di hadapan rumahnya telah dicuri oleh suspek.

“Pada 23 Mac lalu, kira-kira jam  1.05 tengah hari mangsa menerima panggilan daripada suspek mengatakan bungkusan telah sampai dan ditinggalkan di hadapan rumahnya di Pangsapuri Inai, Jalan Pandan Indah 21, Pandan Indah.

“Mangsa yang berada di bawah flat terbabit kemudian berselisih dengan suspek dan bertanyakan bungkusan miliknya dan suspek memberitahu telah meletakkannya di hadapan rumah mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tak lama kemudian, mangsa tiba di rumahnya namun mendapati bungkusan mengandungi barang kemas dianggarkan bernilai RM1,500 tiada di situ lalu membuat laporan polis.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya telah membuat satu serbuan di Jalan SS3/60 di Petaling Jaya pada jam 12.30 tengah malam tadi.

“Hasil serbuan itu berjaya menahan seorang suspek lelaki tempatan berusia 29 tahun disyaki terlibat dalam kejadian jenayah tersebut,” ujarnya.

Mohamad Farouk menambah,  pemeriksaan lanjut polis ke atas suspek di rumah tersebut  berjaya membawa kepada rampasan pelbagai barangan antaranya telefon bimbit, helmet, beg penghantaran makanan, baju-T, seluar, alat kawalan jauh motosikal, dan motosikal yang disyaki digunakan untuk melakukan jenayah tersebut.

Suspek mengaku sudah menjual barang kemas milik pelanggan tersebut dan membeli aksesori-aksesori yang dipasang pada motosikalnya.

Ujian air kencing didapati negatif dadah tetapi mempunyai satu rekod kesalahan jenayah lampau.

Suspek direman empat hari sehingga 28 Mac ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – MalaysiaGazette