Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya ketila sesi Lawatan Kerja pekembangan (MRT) Laluan Putrajaya di MRT Sentul Barat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM 07 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya sejak negara memasuki fasa endemik, jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mencecah sejuta penumpang sehari pada 21 Mac lalu.

Prasarana dalam kenyataan hari ini berkata, pencapaian itu merupakan lonjakan daripada purata 846,000 orang penumpang sehari dari 1 Januari hingga 15 Mac lalu.

“Daripada jumlah itu, perkhidmatan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mencatatkan seramai 767,000 penumpang manakala perkhidmatan Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) telah mencatatkan 235,000 penumpang, angka tertinggi bagi perkhidmatan bas sejak pandemik.

“Sebelum Covid-19 mula melanda negara pada awal tahun 2020, purata penumpang yang menggunakan perkhidmatan Prasarana adalah kira-kira 1.2 juta orang sehari,’ kata kenyataan itu lagi.

Gelagat orang ramai terpaksa menaiki bas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 30 JANUARI 2023.

Tambah Prasarana, angka sejuta penumpang sehari tersebut termasuk purata 100,000 penumpang yang menggunakan perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya sejak ia dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Mac lepas.

Katanya, para penumpang kini sedang menikmati tambang percuma bagi pengguna perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya, termasuk bas perantara bagi MRT Laluan Putrajaya dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral, sehingga 31 Mac depan.

“Prasarana mengucapkan terima kasih kepada semua penumpang yang menggunakan
perkhidmatan yang disediakan dan akan terus berusaha untuk memastikan faktor
keselamatan, kelancaran dan kestabilan perkhidmatan dipelihara untuk manfaat
orang ramai,” katanya. – MalaysiaGazette