pelajar tahfiz
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendengar penerangan daripada Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd Zahid Mahmood (tengah) ketika melihat pelajar tahfiz membaca al-Quran pada Program Kongsi Rezeki Ramadan di Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap kerajaan akan meneruskan usaha pentadbiran terdahulu dalam menjaga kebajikan pelajar-pelajar tahfiz di seluruh negara.

Menurut beliau, pada era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dahulu, terdapat jawatankuasa Kabinet yang khusus bagi melihat institusi pendidikan agama tersebut secara menyeluruh.

“Banyak sekolah tahfiz keadaannya agak kurang terurus dengan baik sama ada dari segi struktur bangunan dan pendawaian,” katanya.

Ahli Parlimen Bera itu berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni dan mengagihkan juadah berbuka puasa sempena Program Kongsi Rezeki Ramadan kepada pelajar-pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat di sini, hari ini.

Hari ini, sebanyak 100 pek makanan diagihkan kepada pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan 120 pek makanan kepada penghuni Rumah Limpahan Kasih yang beroperasi di Puchong, Selangor.

Untuk rekod, Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pernah menjadi tumpuan apabila seramai 21 pelajar dan dua gurunya terkorban dalam tragedi kebakaran pada 14 September 2017.

Pada 17 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong terhadap seorang remaja lelaki setelah dia didapati bersalah membunuh semua 23 mangsa.

Ismail Sabri turut menyifatkan pusat tahfiz berkenaan mempunyai nilai sentimental dan beliau mengenali sebahagian pelajar-pelajarnya sebelum insiden kebakaran itu berlaku.

“Saya berbuka puasa dengan mereka beberapa bulan sebelum kejadian, sempat mengenali mereka, makan bersama mereka.

“Saya difahamkan, seramai 15 orang daripada mereka yang berbuka dengan saya menjadi mangsa,” jelasnya.

Secara keseluruhan, sebanyak 3,000 pek makanan berbuka puasa telah dan akan diagihkan kepada golongan asnaf khususnya pelajar di institusi pengajian tinggi dan anak yatim, sepanjang Ramadan ini melalui Program Kongsi Rezeki Ramadan. – MalaysiaGazette