Kamal Arifin (dua dari kiri) menyampaikan MoU Tambahan kepada Perjanjian Bekalan Elektrik (ESA) kepada CEO GDS, Jamie Khoo (dua, kanan). Majlis disaksikan Ir. Baharin Din (kiri) dan William Wei Huang (kanan).

KUALA LUMPUR – Bagi menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi hab data serantau, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menjalin perkongsian strategik dengan GDS IDC Services (Malaysia) Sdn. Bhd. (GDS) melalui penyediaan bekalan elektrik voltan tinggi kepada kampus pertama pusat data GDS di negara ini.

Kerjasama TNB-GDS melalui Perjanjian Bekalan Elektrik (ESA) itu dimeterai pada Oktober tahun lalu, yang mana TNB menyasarkan untuk memenuhi keperluan tenaga bagi kampus pusat data GDS di Nusajaya Tech Park di Johor Bahru.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din, TNB telah mengambil langkah membolehkan pusat data itu mula beroperasi pada Julai ini melalui bekalan sementara sebanyak 16MW.

Katanya, persediaan sedang dijalankan untuk memastikan peningkatan permintaan maksimum sebanyak 85.5MW dapat disalurkan pada tahun ini.

“Melalui penyediaan bekalan tenaga, TNB melengkapkan dasar mesra pelaburan asing kerajaan untuk memupuk pasaran pusat data yang sihat dan membantu industri mencapai objektif perniagaannya.

“Malah, sebagai perbadanan utiliti negara, TNB komited sepenuhnya dalam menyediakan bekalan elektrik tepat pada masanya dan berdaya harap mengikut tempoh masa dipersetujui,” katanya berucap pada majlis pemeteraian MoU Tambahan kepada ESA yang diadakan di TNB Platinum, Bangsar, di sini, Selasa lalu.

MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Retail TNB, Kamal Arifin A. Rahman dan Ketua Pegawai Operasi GDS, Jamie Khoo, yang disaksikan Baharin serta Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GDS, William Wei Huang.

Sambil menyatakan bahawa TNB dan GDS berkongsi matlamat dan cita-cita bersama ke arah masa depan yang lebih hijau, Baharin berkata, pihaknya juga yakin kerjasama dengan GDS mempunyai potensi besar untuk memberi manfaat kepada kedua pihak serta rakyat Malaysia.

Katanya, bagi menyokong aspirasi GDS untuk menjadi syarikat pusat data pertama mencapai neutral karbon dengan penggunaan 100 peratus Tenaga Boleh Baharu (TBB) menjelang 2030, TNB akan memperluaskan kerjasamanya dalam penyediaan solusi tenaga pintar.

“Kerjasama ini adalah salah satu daripada banyak inisiatif yang mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital negara, di mana ianya terus didorong oleh peningkatan penggunaan perkhidmatan berasaskan awan, IoT, analisis data besar dan kepesatan pendigitalan di rantau ini.

Sementara itu, CEO GDS, William Wei Huang berkata, pihaknya sangat gembira untuk mengukuhkan hubungan dengan TNB.

Ujar beliau, dengan komitmen TNB yang tidak berbelah bahagi dalam menyediakan bekalan elektrik berdaya harap ke kampus pusat datanya di Johor, GDS berada pada kedudukan yang baik untuk menawarkan perkhidmatan pusat data bertaraf dunia di rantau ini.

Ini sekali gus, katanya, mengukuhkan lagi infrastruktur digital Malaysia dan mempercepatkan transformasi serta pertumbuhan digitalnya.

“Kami berharap kerjasama dalam penggunaan TBB ini sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan mampan kami seperti penyelesaian hijau pintar termasuk solar atas bumbung dengan GSPARX, solusi sambungan dengan Allo dan teknologi hijau baharu dengan TNB Renewables.

“Melalui kerjasama strategik ini, kami percaya dapat memberikan sumbangan penting untuk menyokong cita-cita Malaysia menjadi hab pusat data dan memacu ekonomi digital serantau.

“Kami berterima kasih atas sokongan dan usaha TNB untuk memupuk perkongsian yang bermanfaat di masa hadapan,” kata beliau.

Menurut William, dalam memacu peralihan tenaga negara, TNB memberi tumpuan kepada menyediakan penyelesaian tenaga mampan bagi memupuk pasaran yang kondusif untuk pelabur tempatan dan asing.

Inisiatif itu, jelas beliau, berpaksikan kepada aspirasi TNB untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast