YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menunaikan ibadah di Masjid Nabawi, Madinah pada 24 Mac 2023. - AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini disifatkan sangat berhasil dan mampu memperkukuh hubungan Putrajaya-Riyadh meskipun dalam tempoh singkat Perdana Menteri di tampuk pemerintahan.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi berkata, kerajaan Arab Saudi telah meminta supaya lawatan tersebut dilanjutkan bagi menyusun pertemuan dengan pimpinan kerajaan Arab Saudi.

“Namun, Perdana Menteri terpaksa menolak secara baik kerana beliau telah dijadualkan untuk hadir ke majlis berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semalam.

“Perdan Menteri juga akan melakukan kunjungan rasmi ke Phnom Penh, Cambodia pada Isnin ini, seterusnya Hainan dan Beijing pada Rabu bagi bertemu Presiden, Xi Jinping dan rakan sejawatnya Premier Li Qiang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Farhan menepis cubaan pihak-pihak yang cuba menggariskan lawatan berkenaan sebagai satu bentuk kegagalan dan pembaziran dana rakyat.

Beliau menggesa pihak yang kekontangan modal dan bankrap isu supaya menghentikan polemik itu dan bersama mendukung usaha Kerajaan Perpaduan dalam memperkukuh imej Malaysia selain memantapkan kerjasama dan hubungan luar negara.

Beliau mengambil maklum terhadap suara-suara dari beberapa pihak berkepentingan yang sengaja mempolitikkan isu berkenaan dan terpanggil untuk menjelaskan perkara tersebut tatkala beliau turut bersama dalam delegasi bersama Perdana Menteri ke sana, katanya.

“Jadual Perdana Menteri sangat padat dan tersusun di mana beliau mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan badan Liga Muslim Dunia di Makkah.

“Beliau turut menyaksikan beberapa pemeteraian MoU penting melibatkan lapangan perniagaan dan industri selain menekuni beberapa permasalahan mendesak yang merundung dunia Arab dan Islam dan juga menyantuni komuniti serta mahasiswa Malaysia di Arab Saudi,” ujarnya.

Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi dari 22 hingga 24 Mac 2023 atas jemputan Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.

Kunjungan itu merupakan lawatan rasmi sulung beliau ke Arab Saudi selepas menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. – MalaysiaGazette