KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki yang berada dalam keadaan mabuk menyerang penjual burger dengan pisau mencetuskan rusuhan di Semenyih pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, rusuhan berlaku apabila beberapa individu cuba meleraikan kejadian pada jam 9.45 malam itu.

Menurut beliau, kejadian bermula apabila lelaki berkenaan datang ke gerai burger itu sambil mengeluarkan kata-kata kesan dan membaling tin minuman keras sehingga mencetuskan pertelagahan dengan peniaga berkenaan.

“Jam lebih kurang 9.55 malam pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah menerima panggilan kecemasan Mers 999 dari orang awam mengenai kejadian merusuh di hadapan salah sebuah restoran makanan di Seksyen 5 Bandar Rinching, Semenyih, dan seterusnya telah mengarahkan URB Balai Polis Semenyih ke lokasi kejadian.

“Tiada kecederaan serius dalam kejadian ini,” katanya menerusi kenyataan.

Kejadian tersebut turut tular menerusi video di laman sosial baru-baru ini.

Mohd Zaid berkata, pihaknya segera menahan penyerang dan tiga lagi lelaki berumur di antara 28 hingga 41 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, turut dirampas sebilah parang, pisau boleh laras dan topeng kain milik penyerang.

Ujarnya, keempat-empat suspek direman empat hari sehingga esok.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana perbuatan merusuh menggunakan senjata di tempat awam, yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan penjara selama tempoh sehingga lima tahun dan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Beliau meminta saksi kejadian supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Insp. Hazrani Hashim di talian 019-7944442 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette