Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

PUTRAJAYA – Malaysia sedia mempertimbangkan untuk membuka semula pejabat kedutaan di beberapa negara yang sebelum ini terpaksa ditutup atas sebab-sebab tertentu.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam sidang media hari ini berkata, satu pasukan diketuai Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Amran Mohamed Zin sedang membuat tinjauan dari segi keperluan sebenar di negara-negara yang berkenaan.

“Kita mengenal pasti ada beberapa tempat yang barang kali kita sedang membuat tinjauan semula untuk membuka semula mission atau kedutaan yang ditutup selama ini akibat daripada perang yang berlaku di negara yang berkenaan.

“Kita akan umumkan nanti di mana (pejabat kedutaan yang akan dibuka), kalau ada kedutaan-kedutaan yang ditutup mungkin akan dibuka semula berpandukan kepada kajian yang dijalankan,” katanya, di sini.

Zambry berkata, setakat ini Iraq, Syria dan Libya ada menjemput Malaysia untuk membuka semula pejabat kedutaan di negara mereka atas dasar hubungan baik mereka dan negara ini.

“Ada pihak tertentu dari negara berkenaan yang datang berjumpa dengan kita untuk Malaysia kembali membuka kedutaan kita di sana, (namun) ia tertakluk kepada keputusan kerajaan,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast