Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendesak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi penjelasan berhubung tindakan kerajaan menghentikan penajaan pelajar perubatan di universiti tempatan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, meskipun kerajaan perlu mengawal bilangan graduan dalam bidang itu, namun bukan dengan cara menghentikan pinjaman pengajian.

Katanya, sehingga kini, Malaysia masih belum memenuhi cadangan nisbah seorang doktor kepada 400 pesakit (1:400) untuk kemudahan penjagaan kesihatan awam.

“Di sesetengah hospital, nisbah boleh meningkat setinggi 1:1000 pesakit dan terdapat juga kekurangan dalam bilangan orang awam berbanding pakar penjagaan kesihatan.

“Justeru, adakah langkah menghentikan biasiswa ini akan menjejaskan kepakaran yang diperlukan dalam sektor penjagaan kesihatan awam dalam masa terdekat dan jangka panjang?

“Apakah dasar kerajaan terhadap manusia perancangan sumber untuk sektor penjagaan kesihatan awam?” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dr Muruga merujuk kepada iklan tawaran biasiswa oleh JPA bagi Program Ijazah Dalam Negara (PIDN), yang menyatakan bidang yang tidak ditaja adalah perubatan, pergigian dan farmasi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan perlu membuat perancangan yang rapi dan mengambil kira sumber manusia penjagaan kesihatan, keperluan dan pertumbuhan penduduk.

“Masa yang mencukupi juga diperlukan untuk melatih pekerja penjagaan kesihatan.

“Kebimbangan kami adalah mungkin tiada pakar yang mencukupi pada masa hadapan kerana permintaan untuk perkhidmatan pakar semakin meningkat dan dijangka terus meningkat disebabkan populasi yang semakin tua,” ujarnya.

Beliau berkata, Malaysia akan mencapai status negara tua pada 2030, dengan 15 peratus daripada populasi negara ini akan berusia 60 tahun ke atas.

Selain itu, katanya, pelajar universiti tempatan yang ingin meneruskan kerjaya dalam bidang perubatan masih memerlukan sokongan kerana bukan semuanya berasal daripada keluarga yang berkemampuan.

Merujuk kepada tawaran PIDN 2023, bidang lain yang turut tidak ditawarkan tajaan biasiswa adalah pendidikan dan semua bidang yang memerlukan pelajar mengambil lesen seperti lesen penerbangan dan lesen menyelam.

Selain itu, program berbentuk francais universiti awam atau swasta; program berkembar, dual ijazah, double degree dengan institusi lain kecuali yang dibenarkan.

Program kejururawatan, separa perubatan dan program praperkhidmatan; program berkaitan sijil profesional seperti ACCA dan program pengajian secara separuh masa, jarak jauh, atas talian pengajian atau program pengajian tanpa subsidi yuran pengajian juga disenaraikan sebagai tidak layak untuk mendapat tajaan JPA. – MalaysiaGazette