Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dijangka berlangsung Julai atau Ogos depan merupakan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada Pemuda dan Puteri UMNO.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ini kerana keputusan pilihan raya itu akan menunjukkan sama ada kedua-dua sayap parti berkenaan berjaya menarik pengundi muda khususnya yang pertama kali iaitu 18 tahun.

Menurut beliau, keupayaan dan kemampuan kedua-dua sayap UMNO itu akan terbukti menerusi keputusan yang dilakar nanti.

“Saya ingat ini peluang terbaik khusus untuk Puteri dan Pemuda bagi menunjukkan mereka menjadi suara kepada anak muda. Ini peluang untuk menunjukkan keupayaan mereka, dan keupayaan mereka akan teruji dalam PRN ini.

“Sejauh mana mereka mendapat undi yang lebih besar kali ini sebab undi 18 begitu ramai,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sehubungan itu beliau berkata, barisan pemimpin baru dalam Pemuda dan Puteri yang dilantik dan terpilih daripada Pemilihan UMNO baru-baru ini perlu bekerja keras bagi membuktikan keupayaan mereka.

Pada pemilihan sesi 2023-2026, Dr Muhamad Akmal Saleh dipilih menjadi Ketua Pemuda manakala Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi memenangi jawatan Ketua Puteri.

Tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), sementara Terengganu, Kedah dan Kelantan, diterajui Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette