Keadaan rumah di Kampung Tualang Bukit Besar, Yan, Kedah terjejas akibat ribut petang tadi.

YAN – Sekurang-kurangnya 25 buah rumah mengalami kerosakan akibat ribut serta hujan lebat petang di Kampung Tualang Bukit Besar di sini, petang tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, pemantauan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Yan menyatakan hujan lebat dan ribut melanda Mukim Sala Besar kira-kira jam 5.30 petang.

Jelas beliau, keadaan itu menyebabkan kebanyakan rumah mengalami kerosakan selepas bumbung diterbangkan angin.

Anggota APM sedang melakukan pemantauan di lokasi kejadian.

“Pasukan APM Yan melakukan pemantauan di sekitar kampung berkenaan dan menasihati penduduk berwaspada sekiranya hujan lebat atau ribut berulang.

“Setakat ini, 25 buah rumah yang terjejas dan kebanyakannya bumbung diterbangkan angin.

“Anggota APM masih melakukan pemantauan di lokasi kejadian untuk menganggarkan jumlah sebenar rumah yang rosak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Muhammad Zul Izzi, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah itu setakat ini. – MalaysiaGazette