Wanita SPRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenalpasti kira-kira 20 individu termasuk dua pegawai khas kepada seorang bekas Perdana Menteri sebagai individu yang didakwa turut memiliki aset menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Aset-aset tersebut antaranya hartanah, wang tunai  dalam bank dan saham dengan kesemuanya telah dikesan SPRM disimpan di luar negara, kata sumber seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Selain itu, sumber berkenaan juga berkata, terdapat juga aset-aset tersebut dalam bentuk seperti lukisan dan barangan kemas yang dibeli individu terbabit menggunakan dana 1MDB dikesan tetapi turut disimpan di negara-negara luar.

“Kesemua aset-aset yang dikenalpasti itu adalah sebahagian 30 peratus dana 1MDB yang masih diperincikan SPRM dalam usaha mendapatkannya semula.

“Kesemua aset berkenaan dipercayai berada di beberapa negara seperti Hong Kong, Perancis, Switzerland, Luxembourg, Singapura, United State, Kuwait, Germany, Mauritius dan luar pesisir serta beberapa negara lain,” kata sumber yang sama.

Sumber itu juga menambah, kira-kira 20 individu yang dikesan itu adalah nama-nama yang disebut bekas Pengerusi Asia Tenggara Goldman Sachs, Tim Leissner.

Katanya, SPRM ketika ini giat melakukan pemulihan aset berkenaan dengan menjalinkan kerjasama Agensi Penguatkuasa Undang-Undang (LEA) di negara-negara terlibat.

Kelmarin, akhbar sama memetik sumber mereka melaporkan SPRM mengesan untuk mendapatkan semula aset-aset membabitkan syarikat pelaburan strategik, 1MDB terhadap beberapa lagi nama yang disebut bekas Leissner.

Proses dan siasatan berkaitan dana 1MDB adalah usaha berterusan SPRM selepas mereka berjaya mendapatkan semula wang AS$10 juta dolar daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan pada tahun lalu.

Rohana juga difahamkan telah memulangkan wang tersebut secara sukarela pada tahun lalu seperti dikehendaki SPRM.

Bagaimanapun, proses dan siasatan tersebut mengambil masa panjang kerana maklumat-maklumat yang perlu diperoleh SPRM membabitkan penguat kuasa di negara lain.

Rohana didakwa menggunakan wang AS$10 juta yang diberikan oleh Leissner termasuk membeli sebuah rumah di London yang dikatakan bernilai RM29 juta (AS$7 juta).

Rohana mula dikaitkan dengan dana 1MDB selepas didedahkan oleh Leissner dalam perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng berkaitan 1MDB di AS. pada Februari tahun lalu.

Dalam pembicaraan itu, Leissner memberitahu mahkamah AS, dia mempunyai hubungan sulit dengan tiga wanita Malaysia termasuk Rohana.

Pada minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis dalam persidangan Parlimen sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlime Kepong Lim Lip Eng memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara tidak mengetahui sekiranya Rohana telah memulangkan wang AS$10 juta berkenaan kepada kerajaan.

Pada 7 Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, kerajaan sudah mendapatkan kembali lebih 70 peratus aset 1MDB membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 bilion.-MalaysiaGazette