Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid . Foto MOHD ADZLAN, 18 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Sembilan saksi telah memberi keterangan kepada berhubung kes anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang didakwa mengasari warga emas ketika operasi menangkap anjing.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, individu yang telah dipanggil termasuk orang awam yang menyaksikan kejadian berkenaan.

“Kita dalam proses melengkapkan siasatan dan akan dimajukan kepada pejabat Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung meminta penjelasan MBSJ berhubung tindakan pegawainya yang dikatakan memukul seorang warga emas baru-baru ini.

Perbuatan pegawai berkenaan dirakam ketika dia cuba menangkap beberapa ekor anjing dengan batang besi penangkap  pada Rabu lalu.

Menurut Chean Chung, pihaknya juga telah mengeluarkan surat rasmi kepada Unit Integriti MBPJ untuk tindakan mereka berhubung kes tersebut selain meminta penjelasan mengenai Prosedur Operasi Standard yang diguna pakai MBPJ semasa menjalankan operasi menangkap anjing.

Sementara itu, MBPJ memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kes berkenaan.-MalaysiaGazette