Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan Malaysia di KKM, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memulakan Projek Rintis Kluster Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Klinik Kesihatan (KK) Bandar Botanik Klang bagi mengurangkan kesesakan pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, menerusi inisiatif itu, Klinik Kesihatan Bandar Botanik akan beroperasi setiap hari.

“Isnin hingga Jumaat dari pukul 8 pagi hingga 9.30 malam dan Sabtu dan Ahad dari pukul 8 pagi juga hingga 9.30 malam termasuk hari kelepasan am,” katanya ketika menyampaikan ucapan  pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKM hari ini.

Ujar Dr. Zaliha, inisiatif ini bermula sejak Sabtu lalu.

Sebagai rekod, semasa menyampaikan Amanat Tahun Baru 2023, beliau mengumumkan pelaksanaan lanjutan operasi klinik kesihatan tertentu bagi mengurangkan kesesakan dan tempoh menunggu lama di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital.

Mengulas lanjut,  Menteri Kesihatan itu gembira hasratnya itu telah mendapat perhatian daripada pucuk pimpinan.

Sementara itu, Dr. Zaliha turut melancarkan Dokumen Carbon Neutral Healthcare Facilities Blueprint melalui Program Kelestarian di hospital-hospital kerajaan.

Jelas beliau, ini bagi menyokong hasrat kerajaan mengurangkan intensiti pelepasan karbon negara sebanyak 45 peratus menjelang 2030 berdasarkan tahap pelepasan 2005 serta mencapai sasaran negara sifar bersih menjelang tahun 2050.

“KKM telah mula melaksanakan pelbagai inisiatif lestari secara komprehensif sejak tahun 2015, merangkumi elemen penarafan bangunan hijau, pengurusan tenaga, kualiti udara dalaman (IAQ) dan pengurusan sisa lestari melalui pendekatan Reduce, Reuse, Recycle (3R).

“Hasil pelaksanaan program in sehingga Disember 2022, KKM telah berjaya mencapai penjimatan tenaga kumulatif sebanyak 696 GigaWatt-Jam (GWi) bersamaan dengan penjimatan kos utiliti sebanyak RM292 juta berbanding tanda aras tahun 2015 dan 2016 serta pengurangan pelepasan CO2 melebihi 487 ribu tan,” tambahnya.

Ujarnya lagi, KKM telah menerima pelbagai pengiktirafan hasil daripada pelaksanaan program ini sama ada peringkat antarabangsa, serantau dan kebangsaan.- MalaysiaGazette