Ahmad Maslan hadir ke persidangan Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR – Penetapan kriteria berhubung kelayakan bagi pemberian subsidi bersasar kepada individu masih belum diputuskan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, satu pasukan petugas khas telah diwujudkan di bawah kementeriannya untuk bekerjasama dengan kementerian dan agensi terlibat dalam meneliti keperluan serta kebolehlaksanaan pemberian subsidi berkenaan.

Katanya, pasukan itu juga akan mengenal dan memastikan kaedah yang bukan sahaja berkesan malah menjimatkan masa serta memberi implikasi kewangan paling minimum dan akan mengumpulkan data dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Namun usaha untuk membangunkan pengumpulan data yang komprehensif sedang dibuat bagi membantu kerajaan menetapkan kriteria yang bersesuaian berdasarkan data yang diperolehi.

“Pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar ini akan dibuat secara berperingkat tertakluk kepada ketersediaan serta mengekalkan fokus kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rakyat terutamanya golongan B40 tidak terjejas,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang meminta kerajaan menyatakan bilakah subsidi bersasar akan dilaksanakan dan apakah kerajaan boleh menjamin harga barangan tidak akan meningkat apabila subsidi bersasar dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, bagi mengimbangi tanggungan subsidi untuk terus memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat, kerajaan sedang meneroka langkah menambah baik subisidi secara lebih bersasar bagi mengurangkan ketirisan dan mengoptimumkan perbelanjaan kepada program atau projek yang memberi nilai tambah kepada rakyat dna ekonomi negara.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Radzi berhubung pendekatan yang digunakan kementerian dalam melaksanakan subsidi bersasar sama ada melalui tunai ataupun kupon, Ahmad berkata, langkah pelaksanaan itu masih dirangka.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya sedang menyiapkan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan ia dijangka siap pada separuh tahun kedua tahun ini.

“Sama ada sistem kawalan diesel bersubsidi, bererti lepas elektrik ini diesel, petrol tak nampak lagi bila nak dilaksanakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette