Ahmad Zahid Hamidi

MELAKA – UMNO memberi bayangan Melaka sedang menuju proses membentuk kerajaan perpaduan seperti dipamerkan kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keharmonian muafakat politik itu harus diberi keutamaan dalam landskap politik hari ini.

“Ini satu keindahan apatah lagi dalam sebuah Kerajaan Madani yang terbentuk di Peringkat Persekutuan.

“InsyaAllah di Melaka belum lagi terbentuk Kerajaan Madani… tetapi kita ke arah itu mungkin ada.

“Namun hakikat yang kita akan lihat bila enam negeri ada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang pasti landskap politik telah berubah, pasti situasi juga turut bertukar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Ar-Rahman, Kampung Pulai Serkam, di sini, malam ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri pada sidang media selepas itu berkata, perkara itu akan dibincangkan ke peringkat seterusnya.

“Itu saya akan bincangkan dengan Ketua Menteri Melaka dan Pengerusi BN Melaka (Ab Rauf),”katanya. – MalaysiaGazette.