Lim Hui Ying

KUALA LUMPUR – Unjuran pengambilan guru baharu bagi tahun ini hingga 2027 bagi sekolah menengah dan sekolah rendah disediakan berdasarkan data pada 31 Disember 2022.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, data unjuran ambilan guru baharu sekolah KPM secara keseluruhan bagi tahun ini hingga 2027 adalah antara 16,886 hingga 20,081 orang.

“KPM akan sentiasa menyemak data unjuran dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang meminta kementerian menyatakan status pengambilan guru baharu tahun 2022 dan perincian pengambilan guru mengikut opsyen mata pelajaran bagi 2016 hingga 2022 dan unjuran pengambilan guru bagi 2023 hingga 2027.

Menurut Hui Ying lagi, KPM melaksanakan pengisian guru dari dalam kalangan graduan pendidikan lepasan Institut Pendidikan
Guru Malaysia (IPGM), Universiti Awam, Universiti Swasta dan Universiti luar negara tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran.

Ujarnya, urusan pengambilan dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Melantik iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) yang dijalankan sepanjang tahun.

“Bagi tahun 2021 hingga Januari 2023, KPM telah melaksanakan pengambilan seramai 22,327 guru melibatkan sebanyak 148 bidang pengkhususan melalui kaedah one-off dan kluster mata pelajaran sebagai strategi untuk memastikan isu kekurangan guru dapat diatasi.

“Beberapa bidang pengkhususan diberi perhatian antaranya adalah Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Matematik dan Sejarah.

“Urusan pengambilan ini akan berterusan bagi tahun 2023 dan
seterusnya bagi mengisi kekosongan di sekolah-sekolah,” tambahnya. – MalaysiaGazette