Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Keputusan siasatan terhadap lima syarikat pengeluar makanan ayam kerana didapati melanggar Seksyen 4 Akta 712 melalui satu perjanjian antipersaingan atau kartel diketahui suku ketika tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memulakan siasatan setelah menerima maklumat.

Ia melibatkan syarikat Dinding Poultry Development Centre Sdn Bhd, FFM Berhad, Gold Coin Feedmill (Malaysia) Sdn Bhd, Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd.

“Kesemua syarikat di atas, seperti yang dikehendaki oleh Akta 712, telah mengemukakan representasi bertulis mereka pada 31 Januari 2023.

“Dan MyCC telah menjadualkan sesi pendengaran representasi mereka dalam bulan Mac 2023.

“Selepas itu, MyCC dijangka mengeluarkan keputusan akhir dalam suku ketiga tahun ini,” katanya di Dewan Rakyat.

MyCC juga telah menjadikan penyiasatan kartel tipuan bida yang melibatkan perolehan kerajaan sebaagai keutamaan.

Setakat ini, MyCC sedang aktif menyiasat lebih dari 500 syarikat atas dakwaan terlibat dalam kartel tipan bida berkaitan perolehan kerajaan.

Fuziah berkata, nilai yang terlibat adalah lebih dari RM2 billion.

“Perolehan-perolehan kerajaan yang menjadi fokus penyiasatan MyCC sekarang adalah sektor perkhidmatan, makanan, pembinaan dan pembekalan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tasek Gelugor (PN) Datuk Wan Saiful Wan Jan yang meminta menteri menyatakan tindakan yang telah diambil dalam industri yang dikaitkan dengan kartel seperti simen, ayam, telur dan gula.

Menurut Fuziah, MYCC telah menyiasat kartel sejak penguatkuasaan Akta Persaingan 2010 (Akta 712) pada 1 Januari 2012.

MyCC, sebagai badan separa kehakiman telah mengeluarkan keputusan dan seterusnya mengenakan hukuman penalti kewangan ke atas hampir 100 syarikat berjumlah kira-kira RM156 juta.-MalaysiaGazette