KUALA LUMPUR – Kes kematian akibat demam denggi di seluruh negara mencatatkan peningkatan 400 peratus sejak tahun lalu sehingga 25 Mac tahun ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, peningkatan berkenaan membabitkan 17 kes kematian berbanding hanya empat kes bagi tempoh sama, tahun lalu.
“Secara perbandingan antara 2022 dengan 2023 mengikut tempoh yang sama, di mana peratusan meningkat kepada 223 peratus (kes) manakala dari segi kematian walaupun jumlah 17 kematian, peningkatannya berada di tahap lebih 400 peratus,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi di Parlimen hari ini.
Jelas Ahmad Zahid, jumlah keseluruhan kes jangkitan demam denggi direkodkan membabitkan 26,222 kes berbanding 8,214 kes pada 2022.
Sehubungan itu, katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi yang ditubuhkan pada 2014 diaktifkan semula bertujuan menggembleng usaha dan tindakan bersepadu bagi pencegahan dan kawalan penyakit berbahaya itu.
Jawatankuasa berkenaan membabitkan 12 kementerian, semua Pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri serta Jabatan Wilayah Persekutuan.
“Mesyuarat hari ini juga memutuskan Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi dijenamakan semula kepada Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi agar ia selaras dengan jawatankuasa Kabinet yang lain selain akan bermesyuarat dua kali setahun.
“Selain itu, penjenamaan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Peringkat Kementerian kepada High Level Committee Menangani Denggi membabitkan semua kerajaan negeri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette