Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah

BATU PAHAT – Seorang lelaki yang disyaki mencuri sebuah telefon bimbit maut, manakala tiga cedera dan seorang terselamat, dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Parit Jalil, Parit Sulong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Paha,t ACP Ismail Dollah berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang itu, melibatkan kereta Proton Wira, Perodua Axia dan Mazda CX5.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Mazda, lelaki berusia 31 tahun mengekori belakang Wira, dipandu seorang lelaki 39 tahun bersama penumpang lelaki 43 tahun dari Taman Putera Indah, sebelum Mazda itu hilang kawalan dan terlanggar belakang Wira.

“Akibat pelanggaran itu Wira pula hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan Axia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat di sini hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penumpang Wira meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu hanya cedera ringan, sementara sepasang suami isteri yang menaiki Axia mengalami cedera parah manaka seorang lelaki yang menaiki Mazda tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ismail berkata, berdasarkan siasatan, motif pemandu Mazda mengekori Wira disebabkan penumpang Wira itu, dipercayai telah mengambil dan melarikan telefon bimbit milik pemandu Mazda tanpa izin.

Ismail berkata, kesemua mangsa yang cedera telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama