GEORGE TOWN – Tindakan kerajaan memansuhkan pelepasan cukai bagi penyimpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) disifatkan sebagai tindakan anti-rakyat dan anti-anak muda.
Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ia secara tidak langsung meningkatkan kebergantungan rakyat kepada hutang untuk membiayai pendidikan anak-anak mereka.
Kata beliau, pemansuhan pelepasan cukai penyimpan SSPN itu juga akan mendorong anak muda terus dibelenggu hutang termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Pemansuhan pelepasan cukai ini menyerlahkan sikap anti-rakyat PH-UMNO dan membuktikan mereka ada dendam terhadap anak muda yang rata-rata memilih PN.
“Kenapa anak muda dilayan seperti ini? Akibat tindakan PH-UMNO ini, anak muda akan terus bergantung kepada hutang PTPTN,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Wan Saiful, pelepasan cukai sehingga RM8,000 bagi simpanan SSPN adalah insentif yang diusahakan ketika beliau menjadi Pengerusi PTPTN untuk menggalakkan rakyat menabung.
“Saya mahu penyelesaian jangka panjang agar anak bangsa kita tidak terbeban dengan hutang selepas graduasi dan jawapannya adalah dengan penabungan awal.
“Saya dan pegawai-pegawai PTPTN berjaya mendapatkan kenaikan pelepasan cukai menjadi RM8,000 bermula 2019. Ia menjadi salah satu faktor penyumbang kepada peningkatan signifikan deposit SSPN namun langkah mesra rakyat inilah yang mahu dihapuskan oleh PH-UMNO.
“Malah, tindakan kerajaan itu juga menyebabkan ibu bapa hilang insentif untuk menabung SSPN manakala hutang PTPTN anak muda akan terus meningkat,” jelasnya. – MalaysiaGazette