Seorang penganggur berdepan hukuman penjara 80 tahun selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengelar ibu dan adik kandungnya guna pisau pemotong daging awal bulan ini.

MELAKA – Seorang penganggur berdepan hukuman penjara 80 tahun selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengelar ibu dan adik kandungnya guna pisau pemotong daging awal bulan ini.

Hakim Mohd. Sabri Ismail bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap tertuduh, Muhammad Hidayat Abu Samad, 24, bagi menunggu laporan pemeriksaan kesihatan psikiatri dari Hospital Permai, Tampoi.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa telah dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada ibu dan adik kandungnya, Sapiah Abdul Kadar, 49, dan Noor Iman Dania Abu Samad, 11, menggunakan pisau potong daging yang merupakan suatu alat untuk menetak.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Larang Indah dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 10 malam pada 10 Mac lalu

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 40 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nazrin Ali Rahim bagaimanapun memaklumkan mahkamah terdapat isu yang perlu diserahkan kepada pihak hospital untuk mengenal pasti keadaan mental tertuduh sewaktu kejadian.

Beliau kemudian memohon kepada mahkamah agar tertuduh dihantar ke Hospital Permai, Tampoi untuk pemeriksaan psikiatri mengikut Seksyen 342(3) Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan 19 April ini untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette