Temu Anwar
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka sekiranya terdapat kaedah baharu untuk melantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut beliau, kaedah berkenaan perlu melalui proses yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen.

Anwar menegaskan beliau juga tidak ada masalah terhadap cadangan SPRM diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen berbanding di bawah Jabatan Perdana Menteri ketika ini.

“Kalau ada pelantikan baru, apakah kaedah baru dilaksanakan? Ia terserah kepada kemajuan yang dibuat oleh Parlimen.

“Sekiranya mekanisme proses seperti mana dicadangkan oleh Transparency International Malaysia (TMI) dan beberapa badan lain diteliti oleh Peguam Negara dan agensi kerajaan kemudian dipindah kepada Jawatankuasa Pilihan.

“Dan proses ini sempat (untuk pelantikan baharu) maka proses itu saya tidak ada masalah sama sekali. Proses itu harus dihormati,” katanya dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermiyati Samsudin (Masjid Tanah- PN) sama ada Perdana Menteri boleh memberi jaminan pelantikan baharu atau penyambungan kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM dibawa ke Jawatankuasa Khas Parlimen untuk dibincangkan.

Tempoh kontrak Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM akan tamat dalam beberapa bulan lagi.

Anwar berkata, beliau mengekalkan kedudukan Azam selepas mengambilalih pentadbiran bagi memastikan tidak timbul persepsi bahawa seorang perdana menteri baharu akan melantik seorang Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

“Peruntukan undang-undang yang sekarang ini menjamin kebebasan SPRM dan tidak tertakluk bahawa PM dan untuk memperkukuhkan kedudukan dia maka dalam peraturan sekarang ada Jawatankuasa Khas mengenai rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.

“Sebab itu jika dibangkitkan dan memang ada kajian setakat ini kerana mantan perdana menteri yang lalu telah mengambil insiatif merunding dan menimbang, maka saya tidak ada masalah timbang syor Transperansi International dan lain-lain,” katanya.

Anwar berkata, perkembangan syor tersebut harus dikemukakan kepada Jawatankuasa Khas Parlimen untuk diteliti supaya keupayaan SPRM dapat ditingkatkan.

Ini sekaligus mengelak kekangan dan campurtangan yang dibimbangi akan menjejaskan usaha membanteras rasuah yang dianggap sudah sistematik dalam negara. – MalaysiaGazette