Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas mana manaPRU14 tidak pernah bersetuju dengan surat dikeluarkan kepada kumpulan Sulu oleh Tan Sri Tommy Thomas selaku Peguam Negara ketika itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkatK, tindakan Tommy mengeluarkan surat bertarikh 19 September 2019 itu bertentangan dengan prinsip keputusan kolektif yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Surat bertarikh 19 September 2019 yang dikeluarkan oleh Tommy pada masa itu kepada kumpulan Sulu tidak pernah mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri.

“Tindakan beliau mengeluarkan surat mengandungi keputusannya sendiri tanpa kelulusan oleh Jemaah Menteri bertentangan dengan prinsip keputusan kolektif yang diamalkan.

“Dalam surat itu Tommy menyatakan kekesalan apabila kerajaan Malaysia menghentikan pembayaran tahunan kepada waris kesultanan Sulu,” katanya menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri Vell Paari di Dewan Negara, hari ini.

Dalam soalan itu, Vell Paari meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada Jemaah Menteri pada tahun 2019 telah menyatakan persetujuan terhadap kenyataan bekas Peguam Negara yang menyatakan rasa kesal terhadap tindakan kerajaan untuk menghentikan bayaran pampasan tahunan kepada kumpulan Sulu.

Surat itu juga mengandungi kenyataan Tommy yang mendedahkan tunggakan bayaran termasuk 10 peratus faedah berjumlah RM48,230 dan membuat tawaran untuk menjelaskannya “dengan segera” kepada pihak Penuntut sebagai pertukaran menamatkan sebarang tindakan timbang tara.

Menurut Azalina, ketika ini kerajaan telah mengambil pendirian untuk menjauhkan diri atau “to disassociate itself” daripada pengeluaran surat bertarikh 19 September 2019 itu.

Katanya, kerajaan memilih untuk tidak mewakili Tommy dalam tindakan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang difailkan oleh sembilan plaintif dari Sabah.

“Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan permohonan untuk mencelah bagi pihak kerajaan Malaysia, selain turut memohon mendapatkan perintah penggantungan prosiding dan perintah menghalang Tommy daripada memberikan sebarang kenyataan atau komen berhubung prosiding timbang tara waris Kesultanan Sulu terhadap kerajaan Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette