Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 28 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tempoh selama tujuh hari kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk beliau menarik balik tuduhan yang dilemparkan ke atas dirinya.

Ia berikutan dengan ucapan Perdana Menteri itu ketika Kongres Nasional Khas PKR 2023 yang berlangsung pada 18 Mac lepas.

Menurut Dr Mahathir, notis tuntutan berkenaan berserta permohonan maaf yang berkuat kuasa semalam telah dIhantar kepada Anwar di pejabatnya di Perdana Putra.

“Saya telah mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada saya ketika Kongres PKR dengan ahli partinya.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Anwar itu berbaur fitnah dan beliau perlu menunjukkan bukti sekiranya tuduhan itu benar-benar berlaku.

“Walaupun Anwar tidak menyebut nama saya tapi bila tersiar di akhbar orang tahu ia menuju kepada saya (tuduhan),” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Bekas ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, sebagai Perdana Menteri, Anwar tidak sepatutnya membuat tuduhan sedemikian dan ia merupakan satu perkara yang amat serius.

Katanya, jika Anwar tidak menarik balik tuduhan dan membuat permohonan maaf sebagaimana yang dikehandaki, beliau boleh mengambil apa-apa sahaja tindakan undang-undang yang dibenarkan mengikut Perlembagaan. – MalaysiaGazette