KUALA LUMPUR – Lebih 200,000 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan bomba akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan kali pertama diberikan itu menyaksikan setiap anggota akan mendapat bantuan tunai berjumlah RM300.
“Diharapkan bantuan ini dapat menambah keperluan sukarelawan beruniform menjelang Aidilfitri nanti,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Negara.
Dalam pada itu Anwar sekali lagi mengesahkan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 2 akan disalurkan pada 5 April dengan peruntukan sebanyak RM1.26 bilion.
Fasa 2 STR
Anwar turut mengumumkan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) ditambah baik dengan meningkatkan dana jaminan pembiayaan daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion.
Ini bagi membantu pembeli rumah kali pertama terutamanya mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Mulai 1 April 2023, Kerajaan Malaysia akan meluaskan sasaran SJKP bagi merangkumi kedua-dua golongan berpendapatan tetap dan tidak tetap untuk memiliki rumah pertama mereka.
“Ikhtiar ini akan memanfaatkan khususnya isi rumah dalam kategori B40 dan M40,” kata Anwar.-MalaysiaGazette