Maritim Malaysia berjaya menahan sebuah bot gentian kaca dan lima lelaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kerana memasuki perairan negara secara haram di perairan Tanjung Bulat awal pagi tadi.

JOHOR BAHRU- Lima lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menaiki sebuah bot gentian kaca ditahan di perairan Tanjung Bulat, dekat sini awal pagi tadi kerana memasuki perairan negara secara haram.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, hasil maklumat awam bot itu berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia kira-kira jam 5 pagi tadi.

“Pemeriksaan ke atas bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran tersebut menggunakan enjin jenis Yamaha 40 kuasa kuda dan terdapat seramai lima lelaki warga Indonesia berumur antara 23 hingga 53 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bot dan kesemua PATI disiasat di bawah Akta Imigresen 1959 / 63 serta Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu cuba keluar atau masuk Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan dan menjalankan aktiviti penyeludupan migran.

Jika didapati bersalah suspek boleh didenda tidak melebihi RM 250 000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-dua sekali.

Menurut Mohd. Najib, Maritim Malaysia akan meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti penyeludupan migran yang menggunakan laluan laut sebagai jalan masuk dan keluar terutamanya menjelang musim perayaan yang bakal tiba.

Tambah beliau, orang ramai khasnya komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat mengenai jenayah atau kemalangan dilaut sila laporkan segera di talian 07 – 8916591 Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili.-MalaysiaGazette