menghendap banduan hukuman mati bunuh diri Azalina jawatan
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat yang bersidang petang ini, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 selepas selesai dibacakan kali ketiga.

Pindaan RUU itu untuk memberi perlindungan kepada saksi kanak-kanak dengan beberapa penambahbaikan seperti menaikkan umur kepada 18 tahun daripada bawah 16 tahun ke bawah sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam hujahnya berkata, Akta 676 itu tidak pernah dipinda selama 16 tahun sejak dikuatkuasakan.

Oleh itu, terdapat banyak pendekatan dan kaedah baharu yang telah diperkenalkan dan dilaksanakan di negara lain yang boleh dicontohi oleh Malaysia berhubung pemberian keterangan oleh saksi kanak-kanak.

“Izinkan saya membawa perhatian Dewan ini bagi bersama menyelami perjalanan kehidupan atau situasi yang ditempuhi oleh mangsa atau saksi kanak-kanak.

“Apabila sesuatu kes mendapat perhatian daripada pihak berkuasa, kanak-kanak yang terlibat akan dipanggil untuk memberikan keterangannya di balai polis. Selepas itu, Timbalan Pendakwa Raya akan memutuskan untuk mendakwa tertuduh dalam kes berkenaan di mahkamah.

“Susulan itu, kanak-kanak tersebut akan diminta untuk menunggu tarikh perbicaraan bagi memberikan keterangan di mahkamah yang berkemungkinan besar akan mengalami penangguhan demi penangguhan disebabkan oleh faktor seperti perkara yang berkaitan peguam bela, pemindahan hakim, isu bukti forensik atau ketiadaan saksi lain, dan lain-lain lagi,” katanya dalam penghujahan itu, hari ini.

Kata beliau, kanak-kanak terbabit pula terpaksa menunggu untuk jumlah masa yang panjang dan apabila akhirnya dipanggil memberi keterangan di mahkamah selepas suatu tempoh yang begitu lama, ingatannya telah menjadi kabur.

Dengan cara atau kaedah soal jawab oleh peguam bela yang menakutkan, katanya, tertuduh dalam kes tersebut mungkin tidak berjaya disabitkan atas kesalahannya dan segalanya akan menjadi sia-sia.

“Suasana dan sifat mahkamah sering menakutkan orang dewasa, apatah lagi kanak-kanak. Kita hanya boleh membayangkan betapa ngerinya pengalaman tersebut untuk seorang kanak-kanak.

“Justeru, menerusi pindaan ini, akta berkenaan akan memperuntukkan prosedur atau cara yang mana saksi kanak-kanak boleh memberikan keterangan termasuk seperti mengadakan pengadang antara kanak-kanak dan tertuduh, rangkaian secara langsung, rakaman video serta peneman orang dewasa dan pemeriksaan saksi kanak-kanak melalui perantara.

“Kaedah-kaedah di bawah Akta 676 ini adalah bersifat mesra kanak-kanak dan boleh membantu saksi kanak-kanak memberikan keterangan di mahkamah,” katanya.

Menurut Azalina, kerajaan berpandangan tiba masanya Malaysia mempelajari dan mempraktikkan amalan terbaik yang digunapakai di seluruh dunia dalam perkara itu bagi mempertingkatkan undang-undang negara agar selaras dan setara dengan piawaian semasa antarabangsa.

RUU Pindaan Akta 676 mengandungi enam fasal melibatkan peruntukan utama yang antaranya menaikkan umur saksi kanak-kanak daripada bawah 16 tahun kepada di bawah 18 tahun.

Memasukkan peruntukan yang berhubungan dengan pendengaran khas bagi saksi kanak-kanak memberikan keterangan; dan melarang soalan tidak wajar kepada saksi kanak-kanak.

Berhubung dengan pindaan untuk menaikkan umur saksi kanak-kanak, Azalina berkata, buat masa ini seksyen 2 Akta 676 mentakrifkan “saksi kanak-kanak” antara lain sebagai seseorang yang berumur di bawah 16 tahun.

Ujar beliau, cadangan untuk meminda umur saksi kanak-kanak daripada “di bawah 16 tahun” kepada umur “di bawah 18 tahun” bertujuan untuk memastikan takrif saksi kanak-kanak adalah selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang telah diratifikasikan oleh Malaysia dan selaras dengan undang-undang bertulis yang lain. – MalaysiaGazette