KUALA LUMPUR- Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan indeks pemalsuan wang kertas Malaysia terus menurun secara stabil sejak 10 tahun lalu kepada 0.3 bahagian bagi setiap juta keping (ppm) pada 2022 berbanding tahap tertingginya iaitu sebanyak 1.9 bahagian ppm pada 2015.
Jelasnya, 0.3 ppm bersamaan tiga keping wang kertas palsu bagi setiap 10 juta keping wang kertas dalam edaran.
Malah, kes wang kertas palsu yang dilaporkan juga sangat jarang berlaku.
Sebagai perbandingan, zon Eropah merekodkan indeks pemalsuan wang kertas sebanyak 12 ppm, diikuti Australia (10 ppm), Filipina (8ppm), Afrika Selatan (6ppm) dan Indonesia (3ppm).
Penanda aras indeks pemalsuan antarabangsa adalah sebanyak 15 ppm.
“Indeks pemalsuan wang kertas yang rendah di negara ini membuktikan keteguhan ciri-ciri keselamatan anti pemalsuan yang terdapat pada wang kertas Malaysia.
“Selain itu, wang palsu di Malaysia berkualiti rendah dan mudah dikenal pasti,” katanya dalam Laporan Tahunan BNM 2022 yang diterbitkan hari ini.
Menurut BNM, insiden pemalsuan di Malaysia biasanya berskala kecil dan biasanya dilakukan penjenayah kecil yang bekerja sendiri menggunakan peranti komersial seperti mesin pendua, pengimbas dan pencetak laser.
Oleh itu, wang kertas palsu yang dihasilkan lazimnya tidak memiliki semua ciri keselamatan.- MalaysiaGazette