Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Meskipun trend pertumbuhan dijangka sederhana, inflasi keseluruhan diunjurkan kekal tinggi secara purata pada tahun 2023 antara 2.8 hingga 3.8 peratus disebabkan oleh beberapa faktor penting.

Pertama, permintaan dalam negeri yang terus kukuh dan pasaran pekerja yang bertambah baik dijangka akan mendorong inflasi teras untuk kekal tinggi dalam tempoh yang terdekat, lantas mengatasi inflasi keseluruhan untuk beberapa bulan pada tahun 2023.

Di samping itu, usaha pengurangan subsidi secara beransur-ansur juga akan menyebabkan kesan kenaikan kepada inflasi.

Oleh itu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras diunjurkan berpurata antara 2.8% hingga 3.8% pada tahun 2023.

Menurut Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022, prospek inflasi pada tahun 2023 adalah sangat tidak menentu dan imbangan risiko terhadap inflasi cenderung untuk menjadi lebih
tinggi.

Harga komoditi global, salah satu punca utama kenaikan inflasi dalam negeri pada tahun 2022, boleh mendorong inflasi yang lebih tinggi sekiranya konflik geopolitik di Ukraine semakin buruk.

Risiko inflasi yang lebih tinggi juga disebabkan oleh keadaan cuaca yang melampau, permintaan dari China yang lebih tinggi daripada jangkaan serta kos input lebih tinggi disebabkan oleh perkembangan pasaran kewangan global.

Tahap tekanan inflasi juga akan terus bergantung pada sebarang perubahan terhadap dasar dalam negeri yang berkaitan dengan subsidi dan kawalan harga.

Dalam keadaan tekanan kos yang berlanjutan sejak dua tahun yang lalu, peningkatan harga pada masa hadapan mungkin akan terus mengejar kenaikan kos yang telah berlaku mendorong tekanan inflasi yang berterusan dan menangguhkan penurunan inflasi kepada purata jangka panjang.

Unjuran inflasi untuk menjadi tinggi secara berlanjutan mungkin akan turut mempengaruhi keputusan berkenaan rundingan gaji pekerja dan penetapan harga barangan oleh syarikat, lantas boleh mendorong tekanan harga secara am yang lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, risiko terjadinya lingkaran inflasi upah (wage-price spiral) adalah tipis di samping jangkaan inflasi jangka panjang yang kekal tegar.

Tambahan pula, pertumbuhan gaji dianggarkan tidak melebihi pertumbuhan produktiviti.

Risiko inflasi menjadi rendah disebabkan terutamanya oleh harga komoditi global yang lebih lemah berikutan persekitaran pertumbuhan ekonomi global yang lebih lemah.

Di dalam negeri, jika permintaan terpendam yang sebahagiannya menyokong perbelanjaan isi rumah pada tahun 2022 luput pada kadar yang lebih pantas, tekanan inflasi mungkin berkurang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast