Kereta lama tetapi masih boleh berjalan tidak ada masalah untuk terus digunakan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan tidak mempunyai halangan membenarkan kereta melebihi usia 10 hingga 15 tahun ke atas berada di jalan raya, asalkan kenderaan itu berada dalam keadaan baik.

Timbalan Menterinya, Hasbi Habibollah berkata, yang dimasukkan dalam kategori pelupusan kenderaan buruk atau usang ialah kereta atau motor yang tidak lagi boleh digunakan untuk apa tujuan sekali pun serta tersadai begitu lama hingga seluruh strukturnya rosak.

“Kita bercerita mengenai kenderaan usang, ada kenderaan berusia kalau sentiasa dijaga, tahan lama lagi dan lulus dari segi pengeluaran asap dan sebagainya boleh digunakan di atas jalan raya.

“Itu kita tak halang. Cuma yang kita maksudkan ialah kereta yang betul-betul rosak, yang tak boleh lagi di bawa atas jalan raya dan mati di jalan raya. Pemilik kereta itu sendiri boleh tahu kenderaannya selamat atau tidak.

“Ada kenderaan yang berpuluh tahun usianya, tapi masih berada dalam keadaan baik, itu dibolehkan. Ianya tak menjejaskan apa-apa mengenai kenderaan yang berusia lebih 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok-PN) yang bertanyakan bagaimana dengan nasib kenderaan melebihi 10 tahun ke atas adakah akan dilupuskan oleh kerajaan.

Menjawab soalan asal dibangkitkan Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat-PH), Hasbi berkata, perkara melibatkan pelupusan kenderaan dan kelestarian alam sekitar bukan hanya terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan (MOT) sahaja.

Bahkan, katanya, ia turut melibatkan kerjasama pelbagai kementerian lain seperti Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama agensi lain.

Kata beliau, kerajaan amat memberi perhatian kepada isu lambakan kenderaan motor yang tidak lagi sesuai digunakan di atas jalan raya, sama ada dari aspek keselamatan penggunaannya serta pencemaran kepada alam sekitar.

“Dalam hal ini, kementerian melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedia bekerjasama dengan agensi kerajaan terlibat untuk mengkaji hala tuju jangka masa panjang mengenai perkara ini termasuk mengkaji konsep pelupusan kenderaan usang.

“Pelaksanaan sistem pelupusan ini berupaya menyumbang kepada peningkatan tahap keselamatan jalan raya, mengurangkan pencemaran daripada kenderaan yang telah lama dan berusia serta merancakkan permintaan kenderaan yang akan menyumbang kepada kelestarian sektor automotif negara.

Menyedari kepentingan ini, kementerian dalam proses membangunkan sistem melalui aplikasi atau kaedah digital yang lain bagi pembatalan pendaftaran kenderaan motor secara atas talian,” ujar beliau.

Menurutnya, sistem itu adalah untuk memudahkan individu yang berhasrat melupuskan kenderaan buruk atau telah rosak dengan membuat pembatalan pendaftaran kenderaan tanpa perlu hadir ke kaunter JPJ.

Kenderaan buruk tersebut seterusnya akan boleh dilupuskan oleh syarikat pelupusan sisa pepejal (AATF) yang diiktiraf mengikut peraturan ditetapkan agensi berkaitan.

Katanya, dengan pelaksanaan inisiatif itu, diharapkan dapat menyelesaikan itu lambakan kenderaan buruk dan usang di negara ini. – MalaysiaGazette