Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Geran Kajian, Pembangunan dan Pengkomersilan (R&D&C) Program Khazanah Alam Industri Jualan Langsung serta Penyerahan Lesen Jualan Langsung di KPDNKSH, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 29 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) khususnya bahagian penguatkuasaannya mengakui tidak terlepas daripada risiko integriti apabila berada di lapangan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya tidak akan menghalang mana-mana anggota penguatkuasanya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika didapati terlibat dengan rasuah.

“Kita badan-badan penguatkuasaan (KPDN) sememangnya terdedah kepada elemen-elemen itu.

“Tetapi kita seboleh mungkin mesti menjaga integriti masing-masing.

“Sekiranya berlaku isu-isu berkaitan dengan integriti, kita tidak boleh menyekat atau menghalang apa pun siasatan sama ada daripada SPRM atau polis,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Isnin lalu, Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya berkata, tahap korupsi membabitkan anggota penguatkuasa sebagai barisan hadapan keselamatan negara semakin kronik dan membimbangkan.

Ahmad Khusairi berkata situasi kebanjiran pendatang asing tanpa izin, pekerja dan pelajar asing di negara ini dilihat sebagai peluang besar kepada segelintir penguatkuasa yang tidak berintegriti untuk mengambil kesempatan mengambil rasuah.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, pihaknya sentiasa terbuka dan sedia memberi kerjasama jika isu integriti timbul melibatkan anggota penguatkuasanya.

“Kita sebenarnya sentiasa memberikan halatuju yang jelas bahawa kita mesti mengambil kira dan memastikan integriti dijaga sebaiknya

“Kita terbuka untuk mengizinkan (disiasat). Mereka mempunyai kuasa untuk melakukan penyiasatan.

“KPDN sentiasa mengamalkan integriti, disiplin dan kitacuba yang terbaik bagi memastikan tidak berlakunya amalan rasuah yang tidak kita ingini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette