Gambar hiasan

SUNGAI PETANI – Polis menahan seorang peniaga besi buruk yang memukul seorang lelaki dan memecahkan cermin kereta mangsa dalam kejadian di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Kampung Baru di sini, semalam.

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan selepas pihak polis menerima laporan daripada mangsa berusia 50 tahun yang mendakwa dicederakan selepas dia terlanggar motosikal yang ditunggangi suspek dalam kejadian jam 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, berdasarkan laporan mangsa yang merupakan peniaga buku dan peralatan sekolah itu memandu kereta jenis Nissan Cefiro berada di laluan keluar bangunan tersebut

“Bagaimanapun, dia tidak sempat mengelak motosikal ditunggangi suspek yang didakwa melintas secara tiba-tiba di hadapannya.

“Suspek enggan menerima penjelasan daripada mangsa dan terus bertindak ganas dengan merosakkan kereta serta memukul mangsa.

“Akibat pergaduhan itu mangsa mengalami bengkak pada tangan kanan, bahu kiri dan belakang kepala telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan 427 akta sama. – MalaysiaGazette