Thursday, March 28, 2024
Home Ekonomi Rasionalisasi subsidi perlu dilakukan- Gabenor Bank Negara

Rasionalisasi subsidi perlu dilakukan- Gabenor Bank Negara

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Yunus.
KUALA LUMPUR -Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berpendapat, langkah merasionalisasi subsidi perlu dilakukan walaupun sekarang bukan waktu yang sesuai.
Beliau berkata, terdapat pelbagai langkah untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi dan dalam masa sama mengurangkan kesannya kepada pendapatan kerajaan dan rakyat.

“Ia perlu dilakukan bagi memastikan kemampanan fiskal dan untuk kita mengukuhkan lagi sistem perlindungan sosial serta ke arah kemampanan ekonomi hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penerbitan Laporan Tahunan 2022, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 serta Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2022 di sini hari ini.

Nor Shamsiah menambah, bentuk subsidi semasa dinikmati secara tidak seimbang oleh mereka yang tidak layak telah mewujudkan ketidakseimbangan dalam ekonomi.

Tambahnya dengan merasionalisasikan subsidi semasa, penjimatan yang diperolehi boleh disalurkan dengan sewajarnya kepada kumpulan yang paling memerlukannya.

Dalam pada itu, BNM mengumumkan jumlah asetnya adalah sebanyak RM619 bilion sehingga 31 Disember lalu, menurut Laporan Tahunan BNM 2022.

Katanya keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM7 bilion dicatatkan bagi tahun kewangan 2022 dan daripada jumlah itu, sebanyak RM4.2 bilion telah dipindahkan ke dalam Rizab Risiko BNM.
“BNM telah mengumumkan dividen sebanyak RM2.8 bilion kepada kerajaan untuk tahun kewangan 2022.
“Kedudukan kewangan BNM kekal stabil pada tahun 2022 seperti yang diaudit dan disahkan oleh Ketua Audit Negara,” kata laporan itu. – MalaysiaGazette