ACP Beh Eng Lai.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket perjudian dalam talian menerusi serbuan di sebuah kondominium di Plaza Arkadia, Desa Park City di sini pada 26 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) itu mendapati, sindiket terbabit menggunakan platform laman web perjudian www.Aeclub365.com dengan menyasarkan warga Hong Kong sebagai mangsa.

Mereka telah memulakan operasi sejak Februari lepas dengan mengaut keuntungan hasil daripada penipuan melebihi 600,000 HKD (RM336,314.35), katanya.

“Dalam serbuan itu kita menahan seramai 18 lelaki dan tiga perempuan warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun yang dipercayai menjalankan aktiviti tersebut.

“Sebanyak 21 buah unit komputer yang digunakan oleh mereka dan 65 buah telefon bimbit tuurt dirampas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Berdasarkan siasatan mendapati, salah seorang daripada suspek berusia 35 tahun merupakan penyelia tempat perjudian itu manakala, yang lain merupakan pelayan khidmat pelanggan.

Lapan daripada suspek terbabit turut mempunyai rekod jenayah lampau.

Menurutnya,  sindiket terbabit menjalankan aktiviti selama 12 jam setiap hari bermula dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

Modus operandi mereka mencari pelanggan melalui aplikasi online dan menawarkan permainan judi serta pembukaan akaun judi menggunakan laman web yang dibekalkan oleh penyelia mereka, Kata Eng Lai.

Setiap pelayan khidmat pelanggan diminta agar mencari sekurang-kurangnya lima orang mangsa dengan pemain diarah memasukkan wang HKD ke dalam akuan judi yang disediakan bagi mendapatkan nilai kredit untuk membolehkan mereka bermain judi di mana-mana platform yang disediakan.

Kesemua suspek direman selama empat hari dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan disiasat bersama Seksyen 4 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – MalaysiaGazette