KUALA LUMPUR – Tahun 2023 akan menjadi tahun yang mencabar bagi ekonomi Malaysia kerana pertumbuhan ekonomi diunjurkan lebih sederhana dan pada masa yang sama, kadar inflasi diunjurkan kekal tinggi.
Dalam persekitaran ini, dasar monetari akan memberikan tumpuan terhadap pengurusan risiko inflasi dan pada masa yang sama menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) juga akan terus mempertimbangkan kesan kumulatif pelarasan OPR yang lalu dalam merumuskan sebarang keputusan pada masa hadapan, memandangkan kesan sela masa dasar monetari terhadap ekonomi, menurut Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022.
Risiko terhadap pertumbuhan agak seimbang kerana risiko pertumbuhan menjadi lebih rendah terutamanya yang berpunca daripada faktor luaran diimbangi oleh permintaan dalam negeri yang lebih kukuh.
Dasar monetari global yang lebih ketat daripada jangkaan dan konflik geopolitik yang semakin meruncing boleh menyebabkan pertumbuhan global menjadi lebih lemah daripada jangkaan.
Meskipun permintaan luaran mungkin lemah, risiko pertumbuhan yang lebih tinggi timbul daripada pasaran pekerja dan aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan, serta pelaksanaan projek termasuk projek yang dinyatakan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 baru-baru ini.
Sementara itu, tekanan inflasi dalam negeri yang berlanjutan akan terus menjadi risiko utama terhadap prospek inflasi.
Walaupun faktor kos global telah menunjukkan tanda-tanda menjadi sederhana, tekanan inflasi terus bergantung pada perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global serta perubahan dasar subsidi dan kawalan harga dalam negeri.
Secara asasnya, dalam menghadapi risiko daripada perubahan kepada tingkah laku penetapan harga, dasar monetari juga perlu mempertimbangkan dinamik inflasi yang akan berlaku apabila kejutan penawaran jangka pendek mereda.
Dasar monetari disasarkan berada pada landasan yang paling konsisten untuk mengekalkan inflasi yang rendah dan stabil serta menyokong pertumbuhan yang mampan dalam jangka sederhana.
Walau bagaimanapun, persekitaran semasa kekal tidak menentu dan dengan itu, keputusan MPC akan terus bergantung pada keadaan yang sentiasa berubahubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
Sebarang kemungkinan pelarasan terhadap tahap akomodasi monetari akan disesuaikan dengan teliti dengan mengambil kira keseimbangan risiko berkaitan dengan inflasi dan pertumbuhan, menurut tinjauan itu. – MalaysiaGazette