PORT DICKSON – Komander yang mengetuai MALBATT 850-11, Kolonel Burhan Sagoni meluahkan kesyukurannya kerana selamat pulang ke tanah air selepas setahun berada di Lubnan bagi melaksanakan misi pengaman.
Berkongsi pengalamannya, misi MALBATT pada kali ini agak berbeza, katanya.
Ia susulan insiden dan konflik peperangan antara Israel dan Gaza sedikit sebanyak memberi kesan operasi pasukan itu sehingga mencetuskan ancaman keselamatan.
Bagaimanapun, katanya, susulan serangan berhampiran Stadium Saida, Lubnan – beliau dan pasukan yang lain meningkatkan kesiapsiagaan masing-masing – selain memastikan keamanan penduduk awam terjaga.

“Kami telah melaksanakan operasi yang lain daripada sebelum ini kerana krisis itu (untuk tambah aspek keselamatan) contoh escort, kita beri bantuan untuk penduduk awam di kawasan tanggungjawab MALBATT dan beberapa langkah lain.
“Kita juga buat tinjauan yang dipanggil Kuala Lumpur Operation yang mana kita bantu pasukan-pasukan sahabat blue line untuk buat rondaan berkala,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Penganugerahan Pingat PNBB dan Pembubaran MALBATT 850-11 yang berlangsung di Padang Kawad PUSASDA hari ini.
Burhan berkata, sebagai komander sudah tentu beliau ingin memastikan semua anggota di bawahnya selamat namun kerisauan itu tidak mematahkan semangat juang dalam kalangan pasukannya.
“Kalau saya dan pasukan cakap tidak risau masa itu bohonglah, kami semua risau sebab kejadian itu tidak pernah dihadapi sebelum ini kami hanya dengar bunyi daripada jauh lebih kurang 17 kilometer (km) sahaja selalunya.
“Tetapi selepas krisis itu berlaku, kita nampak kejadian itu berlaku di kawasan sahabat MALBATT, jadi bunyi kuat impak lebih besar, gegar, kadang-kadang ada sedikit kerosakan di bangunan-bangunan kem contohnya retakan, kaca pecah,” tambahnya.

Selamat tiba di tanah air, anak jati Tawau, Sabah itu berkata, keharmonian Malaysia menjadi perkara yang sangat disyukurinya berbanding di negara bergolak lain.
“Sudah sampai tanah air ini, alhamdulillah. Kalau nak dibandingkan suasana di sana dengan sini, sana dengan situasi yang keselamatannya tidak tentu. Rasa bersyukur sangat negara ini harmoni. Walau ada berbilang kaum tapi aman,” katanya lagi.
Sebagai rekod, kontinjen MALBATT 850-11 keseluruhannya diketuai oleh Kolonel Burhan Sagoni berkekuatan seramai 854 orang terdiri dari 82 pegawai dan 772 anggota termasuk tiga pegawai dan 27 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Awam Kewangan Kementerian Pertahanan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
MALBATT 850-11 berjaya laksana misi walaupun berdepan pelbagai cabaran
















