KLUANG – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Muhammad Said Jonit meninggal dunia hari ini di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini, hari ini.
Muhammad Said yang berkhidmat di DUN Mahkota bagi penggal 2018-2022 menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7 pagi di HEBHK.
Perkhabaran duka itu dikongsikan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan menerusi pesanan ringkas WhatsApp.
“Jenazah dijangka akan dibawa ke kampung halaman di Simpang Renggam dan akan dikebumikan selepas solat Asar,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Muhammad Said yang merupakan calon Parti Amanah Negara (Amanah) yang menggunakan logo PKR menang kerusi DUN Mahkota.
Pada Februari 2021, ADUN Senggarang, Khairuddin A Rahim dilaporkan mengakui beliau bersama dua lagi ADUN Amanah dari Johor, sudah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dua lagi ADUN berkenaan ialah ADUN Serom, Faizul Amri Adnan dan Muhamad Said.
Allahyarham merupakan Timbalan Ketua Cabang Keadilan Simpang Renggam dan juga ahli Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Johor (MPN).
Dalam pada itu, berita pemergian Muhammad Said turut dikongsikan beberapa pemimpin PH Johor antaranya Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.
PKR Cabang Simpang Renggam turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. – MalaysiaGazette
















