Anwar Ibrahim berbuka puasa bersama Diaspora Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, 30 Mac 2023. - Pejabat Perdana Menteri

BEIJING – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata lawatannya ke China minggu ini merupakan manifestasi kepentingan negara itu kepada Malaysia dalam pelbagai aspek khususnya perdagangan.

Anwar berkata, China penting bukan sahaja sebagai jiran yang mempunyai huhungan dua hala yang erat dan rakan dagang rapat, tetapi juga kedudukannya sebagai kuasa besar ekonomi dunia pada masa ini.

“Memandangkan keutamaan itu, kita datang ke China dulu. Tetapi sebagai sebuah negara dagangan, kita perlu mengekalkan hubungan baik dengan semua, termasuk Amerika Syarikat (AS),” katanya semasa majlis berbuka puasa bersama rakyat Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia, di sini, malam ini.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009. Pada 2022 nilai perdagangan antara Malaysia dan China mencecah 17.1 peratus daripada  jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trillion.

Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara pada 2022 mencecah RM487.13 billion iaitu peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri yang baru tiba di sini dari Hainan petang tadi berkata Kerajaan Perpaduan pimpinannya kini lebih utuh dan stabil.

Ini sekali gus membolehkan kerajaan melaksanakan dasar mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara dan menarik lebih banyak pelaburan dan dagangan asing ke Malaysia, katanya.

Sementara itu, Anwar turut menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada rakyat Malaysia yang bermastautin di China kerana menjaga nama baik Malaysia dan sentiasa patuh kepada undang-undang di sini.

Menurutnya, mereka turut memainkan peranan utama dalam menyumbang kepada hubungan erat kedua-dua negara.

“Malaysia adalah sebuah negara dagangan kecil tetapi ia diiktiraf dan dihormati oleh China,” katanya.

Terdapat kira-kira 1,300 rakyat Malaysia yang mendaftar dengan pihak kedutaan kini menetap di seluruh China. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast