semakan kehakiman Najib
Najib Razak meninggalkan mahkamah selepas hadir untuk prosiding permohonan semakan kehakiman terhadap sabitan kes SRC International di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman, Putrajaya pada 20 Februari lalu.

ESOK merupakan hari penentuan terhadap semakan kehakiman yang difailkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi kes SRC International Sdn. Bhd. setelah didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sejak 19 Januari lalu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu telah dipenjarakan di Penjara Kajang sejak 23 Ogos lalu setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas beliau yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC.

Najib yang popular dengan gelaran ‘Bossku’ dalam kalangan penyokongnya tidak berputus asa dan pada 6 September lalu, beliau memfailkan semakan terhadap keputusan tersebut.

Beliau berbuat demikian bagi menegakkan haknya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Najib memohon agar Mahkamah Persekutuan menyemak keputusan panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dengan memohon perintah supaya keputusan rayuan utamanya diketepikan, dilepas serta dibebaskan daripada tuduhan itu.

Beliau juga memohon untuk semakan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya untuk memasukkan bukti baharu berkaitan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali yang kini Hakim Mahkamah Rayuan dan membatalkan perbicaraan kes itu.

Ia turut membabitkan semakan keputusan mahkamah yang menolak permohonan peguamnya untuk menangguhkan prosiding dan supaya Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya.

Keputusan terhadap permohonan semakan kehakiman tersebut akan dibuat oleh panel lima hakim iaitu dari Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Rakyat khususnya penyokong setia Najib juga berharap agar bekas Presiden UMNO itu diberi peluang untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

Dalam hal ini, mereka tidak bermaksud untuk mempertikaikan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan terhadapnya.

Cuma, terdapat beberapa perkara yang memerlukan penelitian seperti mengapa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low tidak ditahan bagi membolehkannya memberi keterangan di mahkamah.

Kita masih ingat lagi lawak hambar bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menyatakan Jho Low sukar dikesan kerana sudah menjalani pembedahan wajah yang menyebabkan rupanya seperti beruang dan berjalan seperti seladang.

Begitu juga dengan persoalan yang menyelubungi ketiadaan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil yang dikatakan gagal dikesan setelah melarikan diri ke luar negara.

Dalam mana-mana kes pun, kehadiran saksi-saksi utama amat penting bagi memberi keterangan di mahkamah namun dalam kes SRC, perkara itu tidak dilihat berlaku.

Semakan kehakiman yang difailkan Najib bukan semata-mata bertujuan untuk mengeluarkan beliau dari penjara sekali gus membolehkannya menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini bersama keluarga.

Lebih daripada itu, ia berupaya memperkukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman dan perundangan negara agar ia terus dilihat sebagai sebuah institusi yang adil dan bebas.

Perlu difahami bahawa sekiranya keputusan semakan kehakiman esok memihak kepada Najib, ia tidak bermakna beliau akan bebas sepenuhnya daripada sabitan hukuman yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Bekas Perdana Menteri itu masih perlu merayu untuk kali kedua terhadap sabitan tersebut dan pada masa yang sama, berdepan dengan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Walaupun jalan yang bakal ditempuh Najib masih berliku, pasukan pembelaan sekurang-kurangnya berpeluang sekali lagi untuk mengemukakan bukti baharu yang difikirkan dapat membantu dalam proses rayuan kelak.

Sekiranya permohonan semakan kehakiman Najib itu ditolak, bekas Perdana Menteri yang banyak berjasa kepada negara itu terpaksa meneruskan hukuman penjara dan mendapatkan pengampunan diraja. – MalaysiaGazette