KUALA LUMPUR — Seramai 542 orang tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 8, melalui Pelabuhan Sandakan, semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, tahanan yang terlibat adalah seramai 422 lelaki, 92 perempuan, dan 28 kanak-kanak.
“Bagi tahanan dewasa, purata umur adalah dari 13 tahun sehingga 78 tahun, manakala jumlah pecahan mengikut usia bagi kanak-kanak dalam pengusiran kali ini membabitkan 23 bulan hingga 12 tahun ke bawah.
“Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing.
“Kesemua tahanan telah dipindahkan melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kesemua mereka sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Tawau, diusir menerusi laluan laut ke Pelabuhan Zamboanga City di Filipina.
Menurut Sh Sitti Saleha, kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Jelas beliau, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
Beliau turut mengingatkan semua warga asing untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.
“Semua agensi penguatkuasaan di negeri Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.
Mengulas mengenai Operasi Pemindahan ini, Sh Sitti Saleha berkata, ia merupakan sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh negeri.
Tambah beliau, JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI.
“Ia dijalankan selepas semua PATI melalui tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing.
“JIM Sabah ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam operasi pengusiran ini, khususnya Kerajaan Negeri Sabah dan Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta lain-lain agensi yang berkaitan,” katanya. – MalaysiaGazette