Kenyataan media dikeluarkan.

MELAKA – Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka Ke-13 akan diadakan di pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka pukul 3 petang esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka (SUK), Datuk Zaidi Johari dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia susulan Yang di-Pertua Negeri Melaka menerima surat peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

“Sehubungan dengan itu berdasarkan Perenggan (a), Fasal 2, Perkara 7, Perlembagaan Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka.

“Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat
Berhormat Ketua Menteri Melaka Ke-13 dijadualkan akan berlangsung pukul 3 petang esok,” katanya.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka di Parlimen, Selasa lalu.

MalaysiaGazette semalam melaporkan Melaka dijangka mendapat Ketua Menteri baharu yang akan mengangkat sumpah pukul 3 petang esok di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Istana Melaka.

Jawatan beliau hampir pasti akan digantikan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh – nama yang sering menjadi spekulasi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 lalu. – MalaysiaGazette.