Kapal penumpang yang terbakar/ foto Radio Mindanao Networks

MANILA – Sebuah kapal yang membawa kira-kira 250 penumpang terbakar di selatan Filipina menyebabkan 31 orang mati lemas atau maut dalam kejadian itu.

Sebanyak 18 mayat ditemui rentung di atas kapal MV Lady Mary Joy 3.

Tujuh lagi masih hilang.

Pihak berkuasa berkata, ia terbakar sekitar 10.40 malam di luar Pulau Baluk-baluk di wilayah Basilan, ketika dalam perjalanan ke bandar Jolo di wilayah Sulu dari bandar pelabuhan selatan Zamboanga.

Kebakaran dikatakan bermula di kabin berhawa dingin kapal  pada malam Rabu.

Beberapa letupan kedengaran sejurus kebakaran tersebut berlaku.

Semasa kejadian kebanyakan penumpang sedang tidur dan kebakaran itu menyebabkan mereka terkejut dan keadaan menjadi panik.

Ada yang terjun ke laut tanpa jaket keselamatan.

Tiga kanak-kanak, termasuk seorang bayi berusia enam bulan antara mereka yang maut.

Pengawal Pantai Filipina berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.

Punca kebakaran masih disiasat- Agensi