Wan Mohd Zahari Wan Busu

KUANTAN – Lelaki yang menyerang imam ketika solat subuh di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 pada Ahad lalu akan didakwa dua pertuduhan esok.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, tertuduh akan didakwa mengikut Seksyen 296 Kanun Keseksaan melakukan kacau ganggu solat di rumah ibadat.

Suspek berusia 37 tahun itu juga akan dikenakan pertuduhan kedua mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Wan Mohd Zahari berkata, lelaki berkenaan didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang menjadi kemungkinan dia menjadi agresif pada hari kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN : Lelaki kurang siuman serang imam ketika solat Subuh

Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek sudah lama berada di kawasan persekitaran terbabit namun menjadi tidak terkawal pada hari kejadian kerana mendakwa mendengar suara imam menyebut namanya.

“Suspek mendakwa dia memukul imam selepas mendengar imam, ketika membaca surah ada menyebut namanya,” ujar Wan Mohd Zahari kepada MalaysiaGazette

Katanya,  suspek kini dalam pengawasan di unit psikiatri Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Pada 26 Mac lalu, MalaysiaGazette melaporkan seorang lelaki dipercayai kurang siuman bertindak memukul imam jemputan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dengan selipar ketika sedang menunaikan solat subuh.

Imam tidak mengalami kecederaan ekoran kejadian itu. – MalaysiaGazette