KUALA LUMPUR — Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor menjelaskan dakwaan bahawa beliau dilarang menghadiri majlis Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, tindakan Muhammad Sanusi mengeluarkan kenyataan yang tidak benar itu hanya menimbulkan kontroversi murahan.

Tambahnya, Muhammad Sanusi sepatutnya menjunjung titah Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Mesyuarat Penggal Pertama Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14.

“Berpolitik juga perlu ada hadnya. Sultan Kedah mengingatkan kita semua supaya mengelakkan budaya berpolitik secara berlebihan sehingga menjejaskan hubungan antara satu sama lain khususnya antara kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Adalah sesuatu yang counter-productive jika Sanusi mengeluarkan kenyataan yang ternyata tidak benar, kemudian play victim mahu mendapat simpati rakyat sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Saya yakin Kerajaan Perpaduan sama sekali tidak akan memencilkan rakyat Kedah walaupun mempunyai MB yang berjiwa kecil dan penuh dengan lakonan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Muhammad Sanusi yang beliau dilarang menghadiri sebarang majlis dan program Kerajaan Persekutuan, semalam.

Menteri Besar Kedah itu turut diketepikan daripada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2023 yang dijadual berlangsung di Langkawi dari 23 hingga 27 Mei ini.

Dalam pada itu, Shaiful Hazizy berkata, adalah sangat penting untuk Kedah memelihara keharmonian hubungan antara kerajaan Negeri dengan kerajaan Persekutuan agar fokus terhadap penyelesaian isu dan permasalahan rakyat tidak terjejas.

“Apa yang kita lihat Sanusi tidak bersungguh malah dilihat seolah langsung tidak peduli dalam usaha mahu menjaga keharmonian hubungan tersebut.

“Ini adalah suatu yang mengecewakan dan hanya akan memangsakan rakyat negeri Kedah,” ujarnya. – MalaysiaGazette