MCA Batu Sapi
Lu Yen Tung

KUALA LUMPUR – MCA Bahagian Batu Sapi berdepan kemungkinan digantung ekoran tindakan bekas ketuanya, Datuk Chew Kok Woh dan beberapa ahli parti yang lain meletak jawatan baru-baru ini.

Pengerusi Badan Perhubungan MCA Sabah, Lu Yen Tung berkata, perkembangan itu menyebabkan bahagian berkenaan tidak mempunyai jumlah ahli jawatankuasa yang mencukupi untuk beroperasi seperti biasa.

“Walau bagaimanapun, memandangkan pemilihan MCA di peringkat cawangan akan berlangsung April ini, MCA Sabah mencadangkan kepada Jawatankuasa MCA Pusat agar menggantung bahagian tersebut.

“Kami juga mencadangkan agar MCA Sabah mengambil alih pengurusan bahagian berkenaan sehingga selepas pemilihan parti iaitu apabila kepimpinan pusat sudah memuktamadkan rancangan meraka terhadap bahagian itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada 11 Mac lalu, Kok Woh mengumumkan telah keluar MCA untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Yen Tung menambah, beliau telah mengadakan lawatan ke MCA Bahagian Batu Sapi bersama Ketua Wanita MCA Sabah, Datuk Dr. Pamela Ying dan beberapa pemimpin dari bahagian Kota Kinabalu dan Sepanggar.

“Kami mendengar maklum balas dan pandangan mereka dan lega apabila mengetahui mereka dan bahagian-bahagian MCA yang lain kekal setia dengan parti dan perjuangannya,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau percaya situasi politik di Sabah semakin stabil dibawa kepimpinan Hajiji.

Yen Tung berkata, sebagai anggota sebuah keluarga yang besar, setiap parti perlu diberi peluang yang sama serta bebas untuk menyatakan pendirian mereka.

“Kerajaan negeri Sabah bukan sahaja perlu memperkukuhkan kerjasama dalaman, malah perlu melibatkan semua parti yang bersekutu agar matlamat bersama untuk memakmurkan Sabah dapat dicapai,” katanya. – MalaysiaGazette