LIPIS – Agenda pendidikan anak-anak Pahang terus menjadi teraju utama di negeri ini.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, agenda itu dimulakan dengan inisiatif yang memanfaatkan 25,146 murid Tahun 1 dengan peruntukkan sebanyak RM2.514 juta.
Menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2023 bagi kluster Tahun 1, setiap murid di 540 buah sekolah akan menerima RM100 setiap seorang.
“Pemberian RM100 ini adalah untuk membantu murid Tahun 1 memberi barangan keperluan persekolahan.
“Pengagihan ini telah pun bermula pada 27 Mac lalu dan akan diselesaikan selewat-lewatnya 7 April depan di semua 540 buah sekolah rendah seluruh Pahang.
“Ibu bapa dijemput hadir ke sekolah untuk mengambil wang bantuan itu bagi pihak anak-anak,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Tahun 1 di Sekolah Kebangsaan Sungai Koyan, di sini, hari ini.
Tambah Wan Rosdy, selain bantuan untuk murid Tahun 1, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan kewangan untuk pelajar-pelajar lain melibatkan pelajar sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi menerusi BPP di bawah Kluster Pelajar dan Anak Muda.
Mengulas lanjut, katanya, bantuan itu melibatkan pelajar SPM dan STPM yang mana mereka akan menerima RM100 seorang, melibatkan 25,871 penerima dengan jumlah peruntukan RM2.587 juta.
“Pelajar tahfiz akan menerima RM100 seorang, melibatkan 8,000 penerima, dengan jumlah peruntukan RM800,000.
“Mahasiswa di IPTA, Politeknik dan Kolej Komuniti akan menerima RM300 seorang berbanding RM200 tahun lalu melibatkan 29,553 penerima, dengan jumlah peruntukan RM8.866 juta,” katanya.
Secara keseluruhan, kerajaan negeri memperuntukkan RM14.767 juta menerusi BPP tahun ini untuk mambantu pendidikan anak-anak Pahang.
Selain BPP, kerajaan negeri menyediakan bantuan untuk pendidikan menerusi Pahang Pride Student yang mana menerusi inisiatif itu setiap pelajar golongan B40 dan M40 akan diberi Kad Diskaun Pelajar sebanyak 20 peratus untuk setiap pembelian barangan persekolahan.
“Jika tahun lalu inisiatif ini hanya dikhususkan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah sahaja, tetapi tahun ini ia diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 6 dan juga pelajar di institusi pengajian tinggi seluruh Pahang.
“Selain itu, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pahang turut menyediakan bantuan pendidikan, sama ada menerusi pemberian biasiswa mahupun pinjaman pendidikan,” jelasnya.
Sejak penubuhan Yayasan Pahang pada 1982, sebanyak RM1.38 bilion telah dibelanjakan yang memberi manfaat kepada lebih 1.7 juta penerima. – MalaysiaGazette