Dr. Mohd Yadzil Yaakob. Foto SYAFIQ AMBAK.

MELAKA – Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka menghormati keputusan Datuk Seri Sulaiman Md Ali meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka kelmarin.

Ketuanya, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, pembangkang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sulaiman atas jasa yang telah dicurahkan sepanjang memegang jawatan itu sejak Mac 2020.

Menurutnya, beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) yang lain mengambil pendirian tidak mencampuri urusan kemelut politik yang berlaku di dalam Barisan Nasional Melaka.

“Kami akan kekal komited sebagai pembangkang yang berwibawa, memperjuangkan suara rakyat dan menjadi ‘check and balance’ yang baik kepada kerajaan negeri Melaka.

“PN akan terus membantu rakyat biar siapa pun yang dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka dan semoga Ketua Menteri yang baharu akan terus membawa agenda rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka di Parlimen, Selasa lalu.

MalaysiaGazette semalam melaporkan Melaka dijangka bakal mendapat Ketua Menteri baharu yang akan mengangkat sumpah pukul 3 petang esok di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Istana Melaka.

Jawatan beliau hampir pasti akan digantikan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh – nama yang sering menjadi spekulasi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 lalu. – MalaysiaGazette.