Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan memulakan lokasi pelaksanaan pembuktian konsep (POC) Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) selewat-lewatnya Oktober tahun ni.

LLM berkata, sistem berkenaan akan menggunakan gabungan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) dan Automatic Number Plate Recognition (ANPR).

Pelaksanaan berkenaan melalui struktur gantri MLFF berskala sebenar adalah bertujuan bagi menguji dan menentusahkan kecekapan sistem front end gantri MLFF terhadap Petunjuk Prestasi Utama yang ditetapkan dalam operasi lebuh raya kelak.

“Gabungan teknologi RFID dan ANPR merupakan teknologi yang telah diteliti dan diputuskan di peringkat Jawatankuasa
Teknikal MLFF, Makmal Value Assessment dan Makmal Value Engineering yang telah diadakan dengan penglibatan agensi-agensi teknikal yang terlibat,” kata LLM menerusi kenyataan.

Baru-baru ini Kementerian Kerja Raya memperkenalkan sistem pembayaran tol terbuka dan sehingga kini sebanyak 10 lebuh raya yang akan terlibat menggunapakai sistem berkenaan.

Lebuh raya yang terbabit ialah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang.

Selain itu, turut diumum baru-baru ini akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka adalah Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Terowong SMART serta Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX).

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata sistem pembayaran tol perlu dibebaskan kepada pelbagai bentuk, tidak hanya terhad melalui Touch ‘n Go sahaja.-MalaysiaGazette