KUALA LUMPUR – Perbelanjaan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dianggarkan menelan belanja kira-kira RM420 juta.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jumlah itu mengambil kira situasi semasa sekiranya PRN itu dibuat pada tahun ini.
“Ini enam negeri yang akan datang nanti dan saya bersetuju dengan apa yang Ahli Parlimen Bachok cadangkan supaya diadakan pilihan raya itu pada hari Sabtu,” katanya menjawab cadangan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) untuk PRN diadakan pada Sabtu.
Ahmad berkata, cadangan untuk mengadakan PRN di enam negeri pada hari Sabtu adalah cadangan yang baik kerana semua negeri terlibat bercuti pada hari berkenaan.
“Elok hari Sabtu, sebab hari Jumaat di sebelah Pantai Timur cuti, elok hari Sabtu, saya setuju dan saya kira SPR juga tiada masalah untuk itu,” katanya.
Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dijangka mengadakan pilihan raya pada Jun depan. – MalaysiaGazette