Penerima-penerima sumbangan dari RMHC.

KUALA LUMPUR – Seramai lebih kurang 120 orang anak yatim sekitar Lembah Klang menerima sumbangan wang tunai untuk persiapan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Sumbangan berkenaan diberikan oleh Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) dalam Majlis Iftar, hari ini.

Majlis yang diadakan di Masjid Al-Qurtubi, Segambut itu hasil kerjasama di antara persatuan tersebut dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menurut Pengurus Besar RMHC Nasri Nordin, acara tahunan ini diadakan untuk meraikan golongan yang kurang bernasib baik.

Jelas beliau, majlis-majlis santuni dan sumbangan kepada kanak-kanak ini hasil  sumbangan pelanggan McDonald di seluruh negara.

Nasri Nordin

“Setiap tahun kita adakan majlis ini kecuali semasa Covid-19. Kali ini kita gembira kerana boleh kembali adakan majlis santuni anak yatim secara besar-besaran.

“Kalau pergi restoran McDonald seluruh negara ada tabung-tabung. Itu duit untuk dimasukkan ke RMHC, jadi wang berkenaan 100 peratus digunakan kembali untuk majlis-majlis seperti ini.

“Dana datang dari pelanggan McDonald dan kita pulangkan kembali untuk menyantuni golongan yang memerlukan,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah, Universiti Sains Islam Malavsia, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

 

Dalam majlis yang sama, RMHC turut menyumbangkan wang tunai sebanyak RM5,000 bagi rumah kebajikan yang terpilih di sekitar Lembah Klang.

Sebanyak tiga rumah kebajikan yang menerima sumbangan berkenaan iaitu Pertubuhan Nur Kasih Bestari, Rumah Permata Hatiku dan Rumah Anak Yatim Al-Sagoff.

“RMHC sentiasa komited menjalankan dan menyokong pelbagai inisiatif kesejahteraan kanak-kanak yang memerlukan di negara ini. Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, kami meraikan anak yatim dengan majlis berbuka puasa dan sumbangan untuk persiapan Aidilfitri.

“Ini juga cara RMHC meluaskan capaian dalam mendekati lebih ramai kanak-kanak yang memerlukan,” tambah beliau.

Sebagai rekod, RMHC merupakan organisasi bukan berasaskan keuntungan yang menumpukan usaha ke arah kesejahteraan kanak-kanak yang kurang bernasib baik di seluruh negara.- MalaysiaGazette